apa pendapat anda?????
KEPINCANGAN SISTEM Pendidikan; sekular sebagai punca permasalahan
Di bawah ini adalah hasil tulisan salah seorang peserta usrah API (angkatan Pemuda Pemudi Islam) yang bernaung di bawah beberapa NGO Sosial dan Islam. Selepas mengurus selia kumpulan usrah ini, mereka mula mampu untuk menganalisa permasalahan masyarakat serta cuba menyediakan manual operasi dan idea ke arah itu. Di sini adalah sebahagian daripada usaha mereka.
Muhammad Nuruddin Bin Bashah ( Mentor/Naqib API)
MASALAH KEPINCANGAN SISTEM
PENDIDIKAN DI MALAYSIA: Sekularisme sebagai punca permasalahan
oleh
Teh Faridah Binti Nazari
Pelajar Jurusan Sains Mikrobiologi
Universiti Sains Malaysia
(USM)
1.0 Pendahuluan
Naluri setiap insan memerlukan suatu pegangan yang benar dan betul sebagai panduan hidup mereka. Untuk itu, jiwa dan hati akan merasa tenang dan yakin dengan diri sendiri dan pegangannya. Hanya akidah Islam yang dapat menepati ciri-ciri ini kerana ia adalah dari Allah S.W.T. Akidah di dalam Islam diperkukuhkan dengan dalil yang pasti dan yakin bersumberkan wahyu yang tiada seorang pun yang dapat menandingi-Nya. Inilah asas serta akar tunjang yang menguat dan mengukuh serta meyakinkan hati setiap penganutnya kerana ia telah bersebati di dalam jiwa.
[1] Persoalannya di sini, ilmu pengajian akidah di sekolah-sekolah kelihatan tidak memberi sesuatu kesan imunisasi kepada akidah umat Islam di Malaysia. Pada masa ini, kita dapat melihat pelbagai paparan di dada-dada akhbar mengenai pelbagai masalah sosial yang semakin meruncing di dalam negara kita. Ramai remaja lelaki dan perempuan yang terjebak ke dalam gejala sosial seperti membuli, memeras ugut, ponteng sekolah, penagihan dadah dan sewaktu dengannya. Lebih menyedihkan apabila terdapat segelintir pelajar yang khususnya beragama Islam, telah terlibat di dalam pertubuhan kumpulan-kumpulan haram seperti JIT, Black Metal, Punk dan sebagainya. Kejadian ini menunjukkan betapa tipisnya keimanan seseorang muslim itu sehingga tidak mampu untuk membezakan antara haq dengan batil. Akidah yang sepatutnya menjadi perisai di dalam diri setiap muslim tidak lagi dapat mencegah manusia daripada kemungkaran.
2.0 Benarkah Sistem Pendidikan Di Malaysia Telah Disekularkan?
Di manakah letaknya unsur-unsur Islam dalam perancangan kuriklum? Untuk menjawab soalan ini, kedua-dua Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) perlulah diamati dan dikupas dengan sedalam-dalamnya. Walaupun Malaysia mengamalkan pendidikan moden tetapi ini tidaklah bererti bahawa kita mempertahankan pendidikan sekular yang menolak sama sekali unsur-unsur keagamaan dan ketuhanan. Perancang pendidikan, khasnya perancang kurikulum di Malaysia sedar betapa buruknya tradisi Barat yang menjadi asas kepada pendidikan sekular, iaitu seperti yang termaktub dalam kata-kata “give unto Caesar what is Caesar’s, and give unto God what is God’s. FPN menekankan faktor pembinaan insan yang sempurna yang bertentangan dengan apa yang berlaku di Barat di mana mereka banyak menghasilkan “educated barbarian”. Pendidikan yang mampu menghasilkan orang yang terdidik dan kaya tetapi jiwanya gersang dan ketandusan unsur-unsur kerohanian akan menyebabkan masyarakat yang sakit menjadi bertambah tenat. Kita tentu tidak mahu melihat rakyat Malaysia yang hidup di atas pegangan “membujur lalu melintang patah”.
[2] Berdasarkan keterangan di atas, didapati FPN secara lantang menolak konsep pemisahan di antara pendidikan dengan agama. Tetapi, sejauh manakah konsep ini telah direalisasikan di dalam sistem pendidikan negara kita? Dan adakah konsep ini telah difahami, dihadam dan dipraktikkan oleh semua rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam? Ada yang berpendapat bahawa sebenarnya sistem pendidikan kita telahpun disekularkan dari awal-awal lagi. Jika kita halusi perjalanan pendidikan yang kita lalui selama ini memang jauh berbeza dengan sistem pendidikan yang diterima oleh cendekiawan Islam yang terdahulu seperti al-Farabi, al-Kindi, Ibn Sina dan Ibn Khaldun. Dari kecil kita di ajar membaca, menulis, mengira dan menyanyi. Kemudian kita diajar dengan pelbagai matapelajaran dan diwajibkan untuk menduduki peperiksaan. Keputusan peperiksaan diibaratkan seperti penentu masa depan sehingga ramai yang belajar secara berorientasikan peperiksaan. Tamat sahaja peperiksaan, hilanglah segala ilmu yang ada. Seterusnya pengajian diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi di institut pengajian tinggi. Sebagai siswazah, kita diminta membuat pilihan untuk mendalami ilmu di dalam satu bidang sahaja. Sebagai contoh untuk menguasai bidang Biologi. Setelah menamatkan pengajian, didapati graduan tersebut hanya mengenali dunia Biologi, itupun terbatas kepada subtopik tertentu sahaja. Tanpa disedari, akhirnya kita sendiri dapat melihat bagaimana pemisahan yang berlaku antara pendidikan dengan agama di dalam sistem pendidikan yang masih kita amalkan sehingga ke hari ini.
Hal ini jauh berbeza dengan sistem pendidikan yang dilalui oleh cendekiawan Islam masa lalu. Dari kecil mereka dilatih untuk menghafaz al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar. Dengan berbekalkan hati yang bersih dan keberkatan dari Allah SWT, mereka meneruskan perjuangan dalam menuntut ilmu sehingga menjadikan mereka pakar di dalam pelbagai bidang. Sikap mereka yang tidak memisahkan antara pendidikan dengan agama dan ketuhanan telah membentuk mereka menjadi teknokrat Islam yang ternama. Mereka bersedia menjadi sumber rujukan masyarakat apabila wujudnya masalah dalam masyarakat. Apabila wujudnya isu pengklonan manusia, ramai tokoh-tokoh ulama dan pemikir memberikan pendapat dan hujah. Kita juga ingin mendengar hujah-hujah dan idea dari golongan teknokrat Islam. Sejarah Islam dahulu boleh dibanggakan dengan lahirnya teknokrat Islam seperti Ibnu Sina. Dia bukan sahaja mahir dalam bidang agama tetapi juga merupakan bapa kedoktoran Islam pada masa itu. Buku-buku perubatannya menjadi rujukan dinegara-negara barat. Imam Abu Hanifah yang warak juga merupakan tokoh perniagaan yang handal dan jujur. Al-Khawarizmi pula merupakan tokoh dalam bidang matematik (Utusan Malaysia 27 Jun 1997). Namun, itu semua faktor sejarah yang lalu dan pada masa ini amat sukar untuk mencari seorang teknokrat Islam seperti mereka.
3.0 Sekularisme Yang Berlaku Di Sekolah
Peruntukan masa belajar bagi pendidikan Islam dalam KBSM ialah empat waktu seminggu, iaitu tiga waktu untuk akademik dan satu waktu diberi kepada kerja-kerja amali, berbanding dengan yang lama di mana Pendidikan Islam hanya mempunyai tiga waktu sahaja. Peruntukan empat waktu ini belum termasuk masa untuk kokurikulum sebanyak dua waktu yang dijalankan di luar kepada masa persekolahan.
[3] Tetapi bagaimana pula dengan matapelajaran lain iaitu matematik, sains, geografi, sejarah, ekonomi dan sebagainya yang wajib dipelajari oleh pelajar di sekolah? Adakah kesemua matapelajaran ini hanya akan diajar atas dasar logik semata-mata? Didapati ramai para pendidik yang tidak mengaitkan subjek-subjek tersebut dengan unsur-unsur keagamaan dan ketuhanan. Bukankah ini ‘sekular’ namanya?
4.0 Sekularisme Yang Berlaku Di Rumah
Masalah kurangnya didikan agama bagi sesebuah keluarga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan di dalam sesebuah keluarga tersebut. Ramai ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja dan memikirkan kesempurnaan hidup di dunia semata-mata, telah mengambil langkah mudah dan ‘bijak’ dengan menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak mereka kepada pihak sekolah bulat-bulat. Ada juga ibu bapa yang dikatakan ‘lepas tangan’ dengan memasukkan anak mereka ke sekolah yang berasrama tanpa mengikuti perkembangan anak tersebut. Begitu juga dengan anak-anak yang belajar di sekolah agama tetapi tidak berpeluang untuk mengamalkan gaya hidup Islam di rumah disebabkan oleh fahaman keluarga mereka yang amat cetek tentang Islam. Alangkah ruginya apabila ia berlaku.
Tetapi, apabila diteliti dari sudut sahsiah dan moral anak-anak remaja zaman sekarang, tidaklah mencapai matlamat sepertimana yang dicitakan oleh FPN. Didapati bahawa pegangan akidah masyarakat masa kini adalah berkadar songsang dengan kemajuan negara yang dicapai.
5.0 Langkah-Langkah Pemerkasaan Sistem Pendidikan Akidah Di Malaysia
Matlamat FPN ialah untuk menggalakkan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Kefahaman kita dari kenyataan tersebut ialah sistem pendidikan kebangsaan menekankan keseimbangan tentang penyuburan intelek, rohani dan jasmani yang juga merupakan ciri-ciri pendidikan Islam.
[4] 5.1 Perbaiki Sistem Pendidikan Di Malaysia
Dengan berpandukan kepada sejarah perkembangan tamadun Islam yang subur dan kaya dengan al-Quran dan al-Sunnah, soal falsafah pendidikan, matlamatnya, soal hairaki ilmu baik fardhu ain dan fardhu kifayahnya tidak sepatutnya menjadi perbincangan yang tidak berkesudahan di kalangan umat Islam. perkara-perkara tersebut di atas adalah suatu yang sudah jelas dan sudah sepatutnya selesai sejak 14 abad yang lalu.yang menjadi perbincangan dan persoalan kita ialah bagaimana hendak munyusun strategi dan mengatur program dan perancangan pendidikan yang lebih kemas, teratur dan responsif bagi membolehkan masyarakat Islam dilatih, dicanai sehingga akhirnya mereka mampu untuk ikut berjuang, memberikan sumbangannya di dalam percaturan hidup di dunia ini. Apa yang berlaku di seluruh dunia Islam sekarang ini ialah soal kekurangan strategi, ketandusan program pendidikan jangkapendekdan jangka panjang baik diperingkat rendah, menengah dan tinggi apa lagi di bidang-bidang professional dan kepakaran di dalam berbagai ilmu. Di Malaysia sendiri kita dapati strategi dan perancangan pendidikan Islam adalah amat perlahan dan stereotype. Tidak banyak yang berubah. Tahun 1957, Mufti (jawatan agama yang paling tinggi) adalah lulusan ijazah pertama al-Azhar dan lain-lain. Tahun 1993, selepas 35 tahun merdeka, para mufti masih lulusan ijazah pertama. Demikian juga para kadi dan imam di masjid masih sama seperti 30 tahun yang lalu. Malah kalau kita tinjau ke hadapan, tahun 2000 dan seterusnya fenomena seumpama ini akan berterusan kerana ketandusan dan ketiadaan perancangan yang jelas dan konkrit disediakan.
Umat Islam hari ini seolah-olah belum pulih sepenuhnya daripada kesan penjajahan politik yang dialaminya sejak peperangan salib pada akhir abad 13 Masihi serta penjajahan Negara barat beberapa dekad lalu. Pemikiran dan kejiwaan mereka ikut terjajah dan terbelenggu sehinga di dalam bidang pendidikan iaitu bidang yang cukup lama dikuasai oleh umatIslam sendiri, mereka ikut terpenjara dan terkurung serta diselimuti oleh kejumudan. Umat Islam masih terumbang ambing kehilangan identiti dan sedang mencari identiti baru. Manakala sebahagian yang lain pula meniru dan mengikut apa sahaja sistem, struktur dan format yang dilakukan oleh orang barat di dalam bidang pendidikan dan sedikit demi sedikit telah membuang dan meninggalkan sesuatu yang bernilai daripada tradisi pendidikan Islam. Memang kita tidak salah mengambil, meniru sesuatu yang baru dan baik tetapi adalah amat malang kalau kita umat Islam telah meninggal dan membuangkan unsur-unsur yang positif daripada trdisi dan tamaddun kita sendiri.
[5]5.2 Pendidikan Melalui Contoh Teladan (Qudwah)
Pentarbiyyahan atau pendidikan melalui qudwah (contoh teladan) ini merupakan salah satu cara tarbiyyah (pendidikan) yang penting dan memberi kesan yang mendalam dalam mendidik dan memebentuk seseorang kanak-kanak itu agar berbudi pekerti mulia, bermoral tinggi dan dapat bergaul dengan baik di dalam masyarakat. Justeru itu setiap murabbi (orang yang bertanggungjawab untuk mendidik, sama ada guru, ibu bapa dan seumpamanya) mestilah menyedia dan menjadikan dirinya sebagai contoh tauladan yang paling baik dan tinggi pada pandangan kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak akan melihat dan memerhatikan segala tindak tanduk tingkah laku murabbi, kemudian mereka akan meniru dan mengikutinya baik dari segi tutur katanya, akhlaknya, perasaannya(kecenderungan) dan apa sahaja yang berhubung dengannya, sama ada disedari ataupun tidak.
[6]RUJUKAN
1. Abdul Latif B. Muda dan Rosmawati Ali @ Mat Zin (1998). Pengantar Ilmu Hadis. Pustaka Salam Sdn. Bhd.
2. Dato’ Dr. Wan Mohd Zahid bin Mohd Nordin (1993). Perancangan Kurikulum Pendidikan Islam Di dalam Falsafah Pendidikan Negara. Kolej Agama Sultan Zainal Abidin.
3. Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (1993). Isu-isu Pendidikan Islam Di Malaysia : Cabaran & Harapan.
4. Pustaka Salam (1988). Pendekatan Islam Terhadap Pendidikan Anak-anak.
[1] Lihat : Pengantar Ilmu Tauhid, p.16.
[2] Rujuk : Perancangan Kurikulum Pendidikan Islam Di Dalam Falsafah Pendidikan Negara, p.14,15.
[3]Rujuk : Perancangan Kurikulum Pendidikan Islam Di Dalam Falsafah Pendidikan Negara, p. 15,16.
[4] Rujuk : Perancangan Kurikulum Pendidikan Islam Di Dalam Falsafah Pendidikan Negara, p. 14.
[5] Rujuk : Isu-isu Pendidikan Islam Di Malaysia, Cabaran Dan Harapan, p. iv, v.
[6] Rujuk : Pendekatan Islam Terhadap Pendidikan Anak-anak, p. 9
dicuri dari :::
Pendita Bitara ada link kat sahabat blogger tu..
Permalink